Pelaburan bermaksud menyalurkan wang bagi memulakan atau mengembangkan sesuatu projek atau perniagaan dengan harapan mendapat pulangan pada masa hadapan. Pelabur kebiasaannya bukan pemilik projek atau perniagaan, namun dana yang disalurkan oleh pelabur membolehkan pelabur mempunyai pegangan dan kepentingan dalam sesuatu projek atau perniagaan.

Terdapat dua jenis pelaburan iaitu pelaburan aktif dan pelaburan pasif. Pelaburan aktif bermaksud pelabur mempunyai kepentingan dalam pengurusan projek dan perniagaan. Namun begitu, pelabur yang membuat pelaburan aktif juga berisiko menanggung liabiliti dan boleh dipertanggungjawabkan sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini. Pelaburan pasif pula tidak mengambil bahagian dalam pengurusan projek dan perniagaan. Pelabur yang melakukan pelaburan pasif kebiasaannya akan melabur dalam bentuk pembelian bon, saham atau hartanah yang juga dikenali sebagai pelaburan portfolio.

Pelaburan Portfolio

Pelaburan tidak terlepas daripada risiko. Pada yang baru berjinak-jinak dengan bidang pelaburan, adalah digalakkan mempelbagaikan pelaburan portfolio mereka dan tidak melabur dalam jumlah yang banyak. Terdapat beberapa portfolio pelaburan yang boleh dipilih. Setiap portfolio mempunyai pulangan dan risiko masing-masing.

Pelaburan portfolio yang lazim dijumpai ialah pelaburan saham, pelaburan hartanah, pelaburan tunai dan pelaburan faedah tetap.

Pelaburan saham merupakan pelaburan yang paling berisiko tinggi kerana ianya tidak stabil dan berubah-ubah. Namun begitu pulangannya adalah lebih tinggi berbanding portfolio pelaburan yang lain.

Pelaburan hartanah merupakan pelaburan jangka masa sederhana dan panjang. Harga hartanah meningkat dengan stabil dari semasa ke semasa. Namun begitu, hartanah juga berisiko untuk jatuh nilai dan membawa kepada kerugian. Faktor seperti kerosakan pada hartanah, bencana alam, perang dan kejatuhan ekonomi amat mempengaruhi nilai hartanah.

Pelaburan tunai merupakan pelaburan yang menjana pendapatan secara konsisten. Namun pulangan dari pelaburan ini adalah lebih rendah dan mengambil masa untuk berkembang. Ianya sesuai untuk pelabur yang inginkan kestabilan dan risiko yang rendah.

Pelaburan faedah tetap merupakan pelaburan dengan pembelian bon. Pegangan bon merupakan pelaburan paling rendah pulang dan risiko untuk pelabur. Bon juga boleh dijual dengan cepat tanpa perlu risau tentang kerugian modal.