Barangan pengguna bermaksud barangan yang dibeli oleh pengguna untuk memenuhi keperluan peribadi atau orang disekelilingnya. Barangan Pengguna juga boleh dikenali sebagai barangan siap. Terdapat empat kategori barangan pengguna yang mana ia diklasifikasikan mengikut cara pengguna membeli produk tersebut dan juga cara produk tersebut dipasarkan di pasaran. Empat kategori barangan pengguna termasuk barangan mudah beli, barangan membeli belah, barangan istimewa dan barangan tidak dicari.

Barangan Pengguna

Barangan mudah beli merupakan barangan yang dibeli oleh pengguna secara kerap tanpa membuat perbandingan yang rumit antara jenama barang tersebut. Sebagai contoh, makanan segera, sabun pencuci, gula, garam dan sebagainya. Jika dilihat, barangan tersebut merupakan barangan yang kebiasaannya dijual pada harga yang rendah dan ia sangat mudah didapati di mana-mana sahaja.

Seterusnya, barangan membeli belah yang mana pengguna melakukan beberapa perbandingan sebelum membuat keputusan untuk membeli produk tersebut. Secara lazimnya perbandingan dibuat berdasarkan beberapa ciri seperti kualiti barang, harga dan sebagainya. Barang-barang ini jarang dibeli oleh pengguna sebagai contoh, perabot, pakaian dan lain-lain lagi. Dari segi pemasaran, barangan ini kebiasaannya diagihkan kepada beberapa cawangan tertentu dan pemasar akan menawarkan beberapa harga promosi bagi memudahkan pengguna untuk membuat keputusan pembelian.

Barangan istimewa pula bermaksud barangan yang mempunyai keunikan tersendiri atau dengan kata lain, barangan ini mempunyai indentiti jenama tersendiri kepada kumpulan pengguna tertentu yang mana mereka sanggup bersusah payah untuk mendapatkan produk tersebut. Pengguna tidak perlu membuat perbandingan yang banyak dan keputusan pembelian terletak kepada jenama produk itu sendiri, sebagai contoh kereta Lamborghini, pakaian daripada pereka fesyen yang terkenal dan sebagainya.

Kategori terakhir ialah barangan tidak dicari, iaitu barangan yang sangat jarang dibeli oleh pengguna, kewujudan produk ini juga berkemungkinan tidak disedari oleh pengguna sehinggalah mereka terpaksa membelinya. Sebagai contoh, alat pemadam api yang mana pengguna tidak akan membelinya tanpa keperluan untuk membeli.

Dari sudut pemasaran, perbandingan antara keempat-empat kategori barangan memainkan peranan yang sangat penting kepada pemasar dalam merangka strategi pemasaran yang betul sama ada dari segi penawaran harga promosi, pemilihan lokasi kedai dan sebagainya.